
SKRIP/ PENGARAH : Yasmin Ahmad
PELAKON : Pamela Chong, Mahesh Jugal Kishor, Syafie Naswip, Howard Hon Ka Hoe dan Jaclyn Victor.
TERBITAN : Primeworks Studio dengan kerjasama Chilli Pepper Film
PELAKON PILIHAN Shafie Naswip sebagai HafizMahesh Jugal Kishor sebagai Mahesh
-Buat Shafie Naswip dan Mahesh, senang penulis katakan keduanya punya kekuatan tersendiri. Tanpa berkata-kata dan hanya dengan riak wajah sahaja, keduanya mampu menjiwai watak sebaik mungkin. Sekalipun watak dan babak yang dijayakan Shafie sekadar sesuatu yang biasa pernah penulis tonton sebelum ini di kaca tv tetapi Shafie punya kekuatannya tersendiri. Dia mampu mengundang rasa sebak di hati penonton hanya dengan riak muka dan pergerakannya sahaja. Begitu juga dengan Mahesh yang berjaya menyentuh hati penulis sekalipun tanpa sebarang dialog yang dituturkannya. Cukup sekadar menggunakan bahasa isyarat, mimik muka dan penghayatan, ia sudah cukup meruntun hati. Tahniah juga buat Jaclyn Victor diatas lakonannya yang bersahaja dan sedikitpun tidak menampakkan dia orang baru di dalam bidang lakonan. Tidak ketinggalan Adibah Noor yang tidak pernah gagal menjayakan setiap watak yang diberikan kepadanya seperti mana yang dikehendaki pengarah. Setiap bait perkataan yang keluar dari mulutnya nyata membuatkan penulis terhibur.
PLOT CERITA :-Adakalanya kita tidak perlu berbicara untuk berkongsi sesuatu. Ia bergantung kepada individu itu sendiri untuk mengekspresikannya. Menerusi lakonan, penghayatan dan cara penyampaian sudah cukup menceritakan segala-galanya. Tidak hairanlah juga karya sentuhan Yasmin Ahmad menerusi 'Talentime' sesuatu yang dari penilaian penulis cara seninya dipertontonkan cukup indah dan suci sekalipun tanpa sepatah bicara. Malahan masih terngiang-ngiang lagi hingga kini babak ketika Mahesh melutut dan memohon maaf pada ibunya yang membuatkan penulis tersentuh hati. Perjalanan ceritanya berlangsung dengan begitu menarik sehinggakan kita tidak sedar filemnya sudah ke penghujung.
KELEMAHAN : -Penulis senang dengan cara penyampaian Yasmin menerusi filem ini, cuma mungkin sesekali sedikit terganggu ketika menonton babak Melur yang dilakonkan Pamela Chong. Gaya percakapan, mimik muka dan penyampaiannya kurang berkesan. Apa pun masih boleh dimaafkan kerana ini merupakan pengalaman pertamanya berlakon.
KEKUATAN :-Terasa sedap dipendengaran menerusi kata-kata yang terucap, puisi dan melodi yang digubah. Lebih tepat penulis katakan, ia diangkat cukup dekat dengan jiwa penonton.-Pendekatan masyarakat yang berbilang kaum menerusi alunan cinta mencerminkan keindahan dan keharmonian di Malaysia. -Unsur persahabatan yang ditonjolkan di dalam filem ini sangat segar dan berlaku dalam kehidupan seharian kita.-Sekalipun humor yang diselitkan kedengaran kasar tetapi hakikatnya ia berlaku di dalam kehidupan seharian. Ini membuatkan ia terasa hidup sekaligus berjaya mencuit hati penonton.